MELAKA – Taktik licik menggunakan resit bayaran QR palsu bagi memperdaya peniaga akhirnya terbongkar apabila sepasang kekasih diberkas dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampungku Sayang, Bukit Baru di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 32 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan pada pukul 3.31 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan dipercayai aktif menjalankan kegiatan penipuan sejak Mac lalu dengan menyasarkan stesen minyak dan kedai runcit sekitar daerah ini.
“Modus operandi digunakan adalah dengan membuat pembelian rokok dalam kuantiti besar sebelum menunjukkan resit pembayaran QR yang telah diubah suai menggunakan aplikasi kononnya transaksi telah berjaya.
“Selepas berjaya mendapatkan rokok bercukai, ia kemudian dijual semula pada harga kira-kira RM10 sekotak bagi mendapatkan keuntungan mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, dengan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan enam kes penipuan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM2,955.50.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 24 April bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan 471 Kanun Keseksaan kerana menipu serta menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
“Pemilik premis perniagaan dinasihatkan agar lebih berwaspada dan memastikan pengesahan pembayaran dibuat terlebih dahulu sebelum pelanggan meninggalkan premis, terutama melibatkan transaksi QR dan pemindahan wang secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette
















