Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman bersama Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Tan Seri, Asmat Kamaludin pada Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 menjadi platform penting diplomasi pertahanan apabila berjaya menghimpunkan negara-negara yang bersaing dan bekerjasama dalam satu pentas di tengah ketegangan geopolitik global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar mempamerkan aset ketenteraan, malah mencerminkan pendekatan berkecuali Malaysia dalam menjalinkan hubungan antarabangsa.

“Selain sebagai pameran, kita menunjukkan bagaimana Malaysia mengamalkan pendekatan berkecuali dengan menghimpunkan pelbagai negara dalam satu platform,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026, di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) dan Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd, Tan Seri, Asmat Kamaludin (tiga dari kanan) pada Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2026.

Menurut beliau, DSA turut menjadi pemangkin kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan serta memperkenalkan produk ke peringkat antarabangsa, sekali gus membuka peluang menyertai rantaian bekalan global.

“Program ini membolehkan syarikat tempatan dikenali oleh pengeluar peralatan asal (OEM) dan memudahkan pematuhan kepada syarat kerajaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam setiap perolehan pertahanan,” jelasnya.

Tambahnya, syarikat luar negara kini lebih cenderung mencari rakan tempatan bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), selaras dengan dasar kerajaan yang tidak lagi membenarkan pengambilalihan kerja MRO oleh pihak luar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, DSA memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara negara melalui pendekatan diplomasi pertahanan, termasuk pertemuan dua hala yang mampu meningkatkan kerjasama strategik.

“Dalam dunia yang berdepan konflik, platform seperti ini penting untuk perkongsian pandangan dan memperkukuh hubungan antara negara,” katanya.

DSA 2026 menyaksikan penyertaan 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara, meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada edisi sebelumnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast