Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada media selepas Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan melibatkan Selat Melaka mesti diputuskan secara bersama oleh empat negara berkepentingan iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, tegas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan itu berkata, sebarang keputusan berkaitan laluan strategik berkenaan perlu mendapat persetujuan bersama negara-negara serantau, selari dengan pendirian yang sebelum ini disuarakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Apa-apa yang ingin dilakukan melibatkan Selat Melaka mesti mendapat keputusan bersama daripada negara-negara di rantau ini. Ketika ini, selat tersebut berada dalam keadaan aman tanpa sebarang halangan kepada kapal-kapal yang melaluinya,” katanya kepada pemberita pada majlis Majlis Penutup DSA & NATSEC Asia 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengenai hasrat pihak tertentu untuk mengawal laluan perdagangan utama dunia itu.

Menurutnya, tiada justifikasi untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar, menyuarakan keinginan mengawal Selat Melaka kerana negara-negara serantau berkeupayaan mengurus serta memastikan keselamatan perairan tersebut dengan baik.

Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang menghubungkan perdagangan antarabangsa, sekali gus menjadikannya aset strategik kepada negara-negara di rantau ini.

Terdahulu, Mohamad dilapor menegaskan, tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sebaliknya pendekatan berasaskan konsensus serantau perlu diutamakan bagi mengekalkan keselamatan maritim.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand mempunyai persefahaman kukuh serta melaksanakan rondaan bersama bagi memastikan keselamatan laluan di selat berkenaan terus terpelihara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast