GEORGE TOWN – Malaysia bukan pengeluar dadah, namun dijadikan sebagai negara transit dalam rangkaian penyeludupan antarabangsa berikutan kedudukannya yang hampir dengan Golden Triangle.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, faktor geografi tersebut menyebabkan Malaysia sering digunakan sindiket sebagai laluan pergerakan dadah sebelum diedarkan ke pasaran lain.
“Malaysia sejak dulu lagi merupakan negara transit yang mana dadah dari Golden Triangle masuk melalui utara Semenanjung. Jadi saya nak tegaskan kita bukan negara pengeluar, tetapi negara transit.
“Daripada jumlah rampasan, untuk tahun lepas dadah dan racun ialah RM3.1 bilion. Bagi tahun ini sehingga Mac sahaja, RM915 juta telah dirampas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum perdana anjuran Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, polis mempergiat penggunaan pendekatan jenayah terancang bagi mengekang kegiatan sindiket dadah yang menjadikan negara ini sebagai laluan transit utama.
Ujarnya, ia bagi memastikan dalang utama sindiket tidak terus terlepas meskipun rampasan dadah berjaya dilakukan.
“Kita dalam usaha menggunakan pendekatan sama di bawah jenayah terancang supaya tindakan boleh diambil terhadap semua yang terbabit, termasuk ketua sindiket, transporter dan mereka yang memproses dadah.
“Kalau tidak, kita hanya tangkap dan rampas dadah, tetapi sindiket atau ketua sindiket ini biasanya terlepas.
“Pendekatan ini dilaksanakan selari dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang memberi ruang lebih luas untuk tindakan terhadap jenayah terancang,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, cabaran utama penguatkuasaan adalah kepelbagaian laluan penyeludupan yang digunakan sindiket termasuk darat, laut dan udara.
“Semua ada… laut, darat dan udara. Kalau di utara, banyak melalui laut dan darat, manakala ke Sabah dan Sarawak pula melibatkan laluan laut atau udara.
“Ada juga tangkapan dibuat di lapangan terbang kerana dadah dibawa melalui laluan udara,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut menegaskan sempadan negara yang terbuka dan luas menjadikan kawalan fizikal sukar, justeru risikan serta kerjasama antarabangsa menjadi elemen penting dalam mengekang aktiviti sindiket.
“Border kita ni porous. Kalau kita nak kawal semua itu memang agak sukar. Itu yang penting intelligence yang mana kita ada kolaborasi yang rapat dengan agensi-agensi anti dadah di negara-negara jiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















