KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Myanmar dibunuh
di Genting Court Condominium, Setapak di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.20 petang.
“Polis menerima maklumat berhubung kejadian tersebut melalui panggilan orang awam yang memaklumkan seorang wanita warga Myanmar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian, dipercayai akibat ditikam oleh seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan.
Bertindak atas maklumat tersebut, menurut Fadil, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa,” katanya.
Siasatan awal pihak polis dapati motif adalah cemburu.
Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hari ini, suspek telah dibawa ke hadapan majistret dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 30 April 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur hari ini mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.
“Polis Kuala Lumpur memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, profesional dan telus.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Fadil.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan G. Baldev Singh di talian 012-480 6062 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















