Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilihat berdepan dengan cabaran besar apabila perlu menangani isu-isu besar melibatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi tersebut.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari antara isu yang menjadi perhatian rakyat pada waktu ini adalah pemilikan saham Tan Sri Azam Baki dan dakwaan wujudnya mafia korporat dalam agensi siasatan itu.

“Cabaran yang menanti bukanlah kecil. Antara yang paling utama ialah dakwaan yang melibatkan tokoh korporat Farhash Wafa Salvador dan kes-kes yang melibatkan dakwaan Albert Tei dalam siri pendedahan videonya,” katanya menerusi hantaran di facebook.

Tegasnya, semua isu berkenaan wajar disiasat dengan adil, menyeluruh dan didedahkan kepada rakyat.

“Pendekatan yang bebas daripada campur tangan serta berlandaskan prinsip keadilan akan menjadi kunci untuk mengembalikan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pasir Mas yang mengucapkan tahniah kepada Abdul Halim turut berharap kepimpinannya mampu membawa pembaharuan terhadap SPRM.

“Semoga kepimpinan baharu ini mampu membawa pembaharuan yang signifikan dan memastikan SPRM kekal sebagai institusi yang dihormati, bebas dan berwibawa,” tambahnya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaporkan memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa pada 13 Mei bagi menggantikan Azam yang tamat kontrak pada 12 Mei depan.

Sebagai info, Abdul Halim, 69, pernah menggalas jawatan sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan meneruskan perkhidmatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga persaraan wajib pada Mac 2023.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast