Komisioner M Kumar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah mendeportasi seorang penjenayah buruan warga Jepun yang terlibat dalam kes bunuh di negara berkenaan pada tahun 2018.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, tindakan itu dilakukan susulan permohonan daripada polis Jepun untuk mengesan suspek yang turut tersenarai dalam notis merah Interpol.

Menurutnya, suspek didapati telah mengubah identiti dan kewarganegaraan sebagai warga Myanmar.

Pada awalnya suspek ditahan di Kedah atas kesalahan di Bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan telah didakwa di mahkamah.

Suspek juga telah dipenjara atas kesalahan itu.

“Hasil siasatan saintifik dan forensik mengesahkan subjek yang sama berdasarkan kepada perbandingan cap jari dan facial recognition melalui gambar.

“Pemprofilan DNA subjek juga telah dihantar ke Bahagian Forensik DNA Data Bank Malaysia Bukit Aman dan disahkan padanan positif dengan profil DNA yang diterima dari Jepun.

Menurut Kumar, kolaborasi dengan Jepun mencerminkan komitmen berterusan PDRM membanteras jenayah rentas sempadan selain perkukuh kerjasama antarabangsa.

“Tindakan ini juga membuktikan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan terhadap mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast