Lim Lian didakwa atas tiga pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang pekebun warga emas yang disyaki menembak mati tiga individu di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini, 19 April lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Lim Lian, 71, mengangguk faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dua lelaki tempatan iaitu Wong Poh Soon, 61 dan Chen Kwai Hwa, 64, serta wanita warga asing, Tran Thi Trang, 37, di Kedai Chan Fong Moi di Jalan Delima, Taman Kota Jaya di sini, kira-kira pukul 1.30 petang, 19 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala tertuduh diwakili peguam Belinda Low.

Eizlan memohon tarikh sebutan dalam masa dua minggu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapat izin supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan segera.

Beliau turut tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapkan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.15 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi yang juga pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nor Azizi Indzam.

Portal ini sebelum ini melaporkan, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam dilaporkan maut selepas ditembak menggunakan Shotgun buatan Benelli M/super dengan nombor siri M104817.

Hutang berjumlah RM50,000 dipercayai menjadi motif pembunuhan itu.

Dalam kejadian itu, tertuduh ditahan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian sebelum direman tujuh hari berakhir semalam.

Tertuduh juga dilaporkan mempunyai lesen sah senjata api.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast