Keadaan MRSM Pendang, Kedah akibat dibadai ribut petang tadi.

PENDANG – Tiada pelajar dilaporkan cedera dalam kejadian ribut yang melanda Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang petang tadi.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati semua pelajar berada dalam keadaan selamat dan tidak terkesan secara fizikal akibat kejadian tersebut.

“Pihak maktab telah diarahkan untuk terus menjalankan pemantauan serta pemeriksaan berkala bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

“Blok asrama, surau, blok akademik serta dewan makan tidak terjejas dan bekalan elektrik di kawasan tersebut masih berfungsi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan blok pentadbiran mengalami kerosakan agak teruk melibatkan beberapa ruang termasuk bilik guru, dewan kuliah, makmal komputer, bilik kaunselor serta bilik pendidikan seni, selain bekalan elektrik di blok berkenaan terputus.

“Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA telah diarahkan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin.

“Peruntukan Khas Darurat juga akan disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan pelajar serta guru sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, tiga daerah di Kedah dilaporkan dilanda ribut susulan hujan lebat petang tadi.

Antara daerah yang terkesan ialah Pendang, Bandar Baharu dan Kubang Pasu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast