Polis menemukan tangki yang menyimpan minyak bersubsidi ketika serbuan di sebuah lokasi di Jalan Kemaman, Kampung Baru Isnin lalu.

KUANTAN – Taktik menyimpan minyak bersubsidi secara haram akhirnya terbongkar apabila sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menyerbu sebuah lokasi di Jalan Kemaman, Kampung Baru semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga, Mohd Khairuddin Jamal berkata, hasil risikan membawa kepada penemuan beberapa tong jenis IBC berisi cecair disyaki petrol dan diesel dipercayai disimpan tanpa kebenaran sah.

Dalam serbuan kira-kira 3.30 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor ditahan di hadapan premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan tiga tangki IBC mengandungi kira-kira 790 liter petrol dan 2,000 liter diesel, selain peralatan pemindahan minyak seperti pam, hos dan tong jerrycan berwarna biru.

“Turut dirampas dua unit pam masing-masing jenis Honda GX160 dan Robin EY20-3, lima tong jerrycan biru, empat unit hos minyak, sebuah telefon bimbit serta beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM33,897.30.

Manakala hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian serta penglibatan lain berkaitan kegiatan penyelewengan bahan kawalan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pihak PPM akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan kawalan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Justeru orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast