Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli semasa Himpunan Tangkap Azam Baki di Sogo menuju Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR — Himpunan “Tangkap Azam Baki” yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat gagal mencapai impak diharapkan apabila hanya menarik kehadiran ratusan peserta, sekali gus mencetuskan desakan agar beliau berundur daripada pentas politik.

Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, jumlah kehadiran yang rendah itu menjadi isyarat jelas bahawa sokongan rakyat terhadap Rafizi semakin merosot.

Menurutnya, meskipun himpunan tersebut didakwa disertai pelbagai NGO dan parti politik, realitinya ia tidak mampu menandingi gelombang besar seperti himpunan reformasi dan Bersih sebelum ini.

“Maknanya, rakyat telah menolak Rafizi kerana beliau seorang yang gagal dalam semua segi terutama menipu dalam janji manifesto dan tidak berkesan sebagai menteri ekonomi,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut kira-kira 500 individu sahaja hadir di pusat bandar bagi menyertai perhimpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Presiden (PEKEMAS), Faizan Mohd Nor bercakap pada sidang media mengenai Bekas Pekerja Rumah Sembelih (TFI) Australia Buat Pengakuan Terbuka Isu Tidak Halal di Villa Puteri Kondominium, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 25 OGOS 2022.

Tidak terhenti di situ, Faizan bersama pengasas PKR, Ng Lum Yong serta sekumpulan peserta turut mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Rafizi bagi mendesak beliau agar bersara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan menarik kehadiran besar membuktikan Rafizi tidak lagi relevan dalam arus politik semasa.

“Sosok Rafizi yang sangat terkenal gagal untuk menarik ribuan atau ratusan ribu peserta membuktikan dirinya tidak lagi relevan di kalangan rakyat,” katanya.

Menurut Faizan lagi, sokongan terhadap Rafizi kini dilihat semakin terhakis termasuk dalam kalangan pengundi pelbagai kaum yang sebelum ini pernah memberi sokongan.

“Mungkin ada segelintir anak muda yang meminati beliau, tetapi golongan dewasa termasuk dari kaum Cina juga tidak lagi teruja untuk menyokongnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast