KUALA LUMPUR – Kemelut politik di Negeri Sembilan yang hampir menggugat kedudukan Menteri Besar menjadi detik paling mencabar buat Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menyifatkan episod tersebut sebagai pengalaman besar yang mengubah perspektif kepimpinannya.
Beliau menegaskan, insiden yang mencetuskan kegusaran politik itu kini menjadi isyarat jelas kepada jentera Pakatan Harapan (PH) supaya bangkit lebih awal dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, apa yang berlaku bukan sekadar krisis biasa sebaliknya perlu dilihat sebagai titik pembelajaran penting untuk memperkukuh parti dan memastikan negeri terus melangkah ke hadapan.
“Kita nak lihat apa yang berlaku ini sebagai satu pengalaman kita, sebagai satu pengajaran kepada kita supaya kita sama-sama melihat sejarah ini akan tertulis dan terbukti apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana PH di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan malam ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam nada jujur, Aminuddin mengakui krisis tersebut turut meninggalkan kesan emosi mendalam kepada dirinya dan rakan seperjuangan kerana berlaku secara mengejut tanpa sebarang makluman awal.
“Saya juga manusia, saya juga rasa tercalar, saya juga rasa hiba, rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat dengan peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa dimaklumkan,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menyeru ahli, penyokong serta pengundi atas pagar supaya tidak panik, sebaliknya memperkukuh jentera parti termasuk PKR bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sebagai ahli parti, penyokong parti dan orang atas pagar, kita kena kuatkan jentera, kuatkan saf Amanah, PKR, DAP dalam PH harus bersiap sedia dalam apa cara sekali pun,” katanya.
Terdahulu, Aminuddin menegaskan, tiada lagi kerajaan minoriti di negeri itu selepas Majlis Perundingan Pimpinan UMNO dan PH sepakat mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, keputusan tersebut mengembalikan kedudukan kerajaan negeri kepada keadaan asal sebelum tercetusnya krisis politik baru-baru ini. — MalaysiaGazette















