Kamaruzaman Othman bersama isterinya, Rossilawati Abdul Razak ketika ditemui di Makkah.

 

 

MAKKAH – “Harapan sangat tipis,” kata Kamaruzaman Othman, 66, yang tidak menyangka akhirnya dapat menunaikan ibadah haji bersama isterinya yang bertahun-tahun melawan kanser rektum.

Bekas penjawat awam itu berkata, pada awalnya mereka langsung tidak yakin akan terpilih selepas doktor yang memeriksa isterinya, Rossilawati Abdul Razak, 65 menyatakan dia dalam keadaan berisiko tinggi.

Lantaran itu, dia tidak ‘berani’ untuk bercerita dengan sesiapa tentang tawaran haji yang diterima kerana takut kecewa.

“Namun, bila Tabung Haji minta buat urusan Nusuk dan serah pasport, masa itu baru kami mula rasa ada harapan. Dan bila keluar surat tawaran dan nombor penerbangan, kami sangat bersyukur sebab Allah betul-betul jemput kami berdua,” katanya menahan sebak ketika ditemui di sini.

Rossilawati yang berada di samping suami ketika ditemui berkata, dia disahkan menghidap kanser rektum tahap empat pada penghujung tahun 2014 sebelum menjalani pembedahan pada 2015.

Menurutnya, tumor yang dihidapinya ketika itu terlalu besar sehingga doktor tidak dapat terus melakukan pembedahan dan dia terpaksa menjalani 25 sesi radioterapi terlebih dahulu bagi mengecutkan tumor berkenaan.

“Selepas 25 kali radioterapi barulah doktor boleh buat pembedahan dan buang semuanya. Sekarang saya memakai beg stoma kerana tidak lagi membuang najis secara normal,” katanya yang duduk di sisi suaminya.

Kamaruzaman Othman menunjukkan selipar yang diubahsuai untuk kegunaan isterinya.

Bekas guru perakaunan ini berkata, kesan rawatan radioterapi itu menyebabkan buah pinggangnya terjejas sehingga saluran kencing menjadi sempit dan memerlukan pemasangan stent pada kedua-dua belah saluran.

Malah, setiap enam bulan saya perlu tukar stent.

Dalam keadaan semasa ini, Rossilawati terpaksa memakai diapers sebab kencing tak lawas.

“Dengan keadaan saya ini, saya perlu taqlid kepada Mazhab Maliki. Kalau ikut mazhab Maliki, selagi air kencing tak melimpah keluar, ibadah diterima,” ujar ibu kepada empat orang anak.

Tambahnya, kanser yang dihidapi turut merebak ke tulang paha menyebabkan tulang menjadi reput dan mengakibatkan sebelah kakinya tidak sama aras sehingga dia terpaksa memakai ‘kasut khas’ yang dibuat oleh suaminya sejak 2017 supaya dapat bergerak dengan selesa.

Walaupun berdepan pelbagai komplikasi kesihatan, Rossilawati itu tidak pernah berhenti berdoa dan berharap untuk menjadi menunaikan haji.

Katanya, dia telah membuat rayuan haji selama beberapa tahun bermula 2016, 2017 dan 2018 namun tidak berjaya sebelum akhirnya menerima tawaran pada tahun ini.

“Saya menangis tak terkata bila dapat tawaran. Tapi doktor pula kata saya kategori ‘high risk’ (berisiko tinggi) dan mungkin tidak lepas pemeriksaan kesihatan Tabung Haji.

“Saya melalui proses pemeriksaan yang panjang kerana dirujuk ke Institut Jantung Negara selepas doktor yang memeriksa mendakwa bacaan jantung saya kurang baik. Bila ke Institut Jantung, doktor sana pula bertanya kenapa datang. Jantung puan ‘cantik’.

“Tapi Alhamdulillah, Allah izinkan saya sampai juga ke sini. Saya terlalu gembira sampai tak tahu nak cakap apa. Dengan keadaan kaki saya macam ini, Allah masih jemput saya menjadi tetamu-Nya,” ujarnya sambil bibir tidak lekang mengucap syukur kepada Allah.

Wanita bertubuh kecil ini juga  menzahirkan penghargaan kepada suami dan anak-anak yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sepanjang dia bertarung melawan kanser.

“Masa rawatan dulu, berat saya turun daripada 80 kilogram kepada 42 kilogram. Saya rasa macam tengkorak bergerak.

“Suami saya cukup istimewa. Kalau tak ada dia, saya tak tahu macam mana. Terima kasih,” kata Rossilawati dengan linangan air mata.

Kamruzaman yang juga mempunyai masalah kolestrol dan sleep apnea atau gangguan nafas terhenti semasa tidur berkata, dia juga bersyukur kerana anak-anaknya bersedia memikul tanggungjawab untuk menjaga adik mereka yang merupakan orang kurang upaya sindrom down.

Kesediaan mereka itu, katanya, membuatkan hati dia dan isteri berasa lega dan tenang untuk menunaikan haji.

Menjawab pertanyaan cara dia berdepan dengan ujian getir kesihatan isterinya, Kamaruzaman berkata, dia sentiasa berlapang dada dengan ujian Allah.

“Dalam perkahwinan memang ada ujian macam-macam kan. Tapi alhamdulillah bila kita dekat sini berdua, saya rasa perhubungan tu semakin rapat, macam honeymoonlah,” ujarnya dengan senyuman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast