SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 11 pertuduhan membabitkan penipuan tanah dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM3.7 juta.
Bagaimanapun, A. Rama Rao, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu pada 18 Julai 2007 sebagai pengarah syarikat RV Global Sdn Bhd didakwa memperdayakan sebuah syarikat perindustrian dengan mendorong syarikat terbabit untuk menyerahkan tanah seluas 3.24 hektar (8 ekar) di Serendah, Hulu Selangor.
Tertuduh melakukan sedemikian dengan menyatakan bahawa dia merupakan wakil 136 bekas pekerja Ladang Serendah yang mana penyerahan tersebut tidak akan dilakukan oleh syarikat perindustrian terbabit jika tidak diperdaya sedemikian.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga dikenakan denda.
Seterusnya, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua proses pemindahan hak milik tanah syarikat RV Global Sdn Bhd iaitu syarikat miliknya kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd berkeluasan 0.216 hektar dan 0.6158 hektar yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kedua-dua pemindahan tersebut dilakukan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Selangor, Klang pada 18 Julai 2023 dan 19 Nov 2024.
Selain itu, dia juga didakwa telah memindahkan wang yang merupakan hasil daripada aktiviti haram masing-masing berjumlah RM318,605, RM24,000, RM136,000, RM130,000, RM100,000, RM2 juta, RM700,000 dan RM300,000 kepada akaun bank antaranya syarikat lain miliknya sendiri, akaun bank isteri, anak, akaun pelaburan, akaun simpanan tetap dan saudara.
Kesalahan itu dilakukannya antara 30 Dis 2024 dan 30 Dis 2025.
Bagi dua kesalahan pemindahan hak milik tanah, Rama didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan dibaca bersama dengan Seksyen 87(1)(a) Akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Dalam masa yang sama, Rama Rao dituduh lapan lagi kesalahan pemindahan wang dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan dibaca bersama dengan Seksyen 87(1)(a) Akta yang sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 bagi kesemua kesalahan.
Namun, peguam yang mewakilinya, M. Teeruvarasu merayu supaya meringankan kadar jaminan mengambil kira Rama Rao merupakan pesakit buah pinggang yang memerlukannya hadir ke hospital tiga kali seminggu selain merupakan penanggung tunggal isterinya yang berusia 63 tahun.
“Tertuduh juga telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan dia tidak mempunyai sebarang kesalahan sebelum ini,” katanya.
Selepas membuat pertimbangan, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 selain tertuduh turut diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan. -MalaysiaGazette
















