KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) baharu yang memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua bank pusat.
MoU ini menyediakan platform yang komprehensif bagi memandu kerjasama dalam pelbagai bidang perbankan pusat.
Bidang yang terlibat termasuk dasar monetari, kestabilan kewangan dan dasar kehematan makro, sistem pembayaran dan pendigitalan, pembangunan sektor kewangan, inisiatif pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat dan bidang lain.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, MoU ini meneguhkan lagi hubungan kerjasama yang berterusan antara BNM dengan BI.
MoU ini turut menekankan komitmen bersama kami untuk memperdalam kerjasama dalam bidang perbankan pusat yang sedia ada, dan pada masa yang sama memperluas kerjasama dalam bidang kepentingan bersama yang baharu.
Sementara itu, Gabenor BI Perry Warjiyo pula berkata, MoU ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan jangka panjang antara BI dengan BNM dan bukan sekadar komitmen simbolik semata-mata.
MoU ini mencerminkan semangat yang berkekalan untuk memperkukuh hubungan institusi dan memperdalam kerjasama dua hala antara dua bank pusat ini, khususnya dalam persekitaran geopolitik semasa yang mencabar.
BNM berkata, pemeteraian MoU ini membuka lembaran baharu ke arah kerjasama yang lebih kukuh dan bersepadu antara BNM dengan BI.
Kedua-dua bank pusat mengalu-alukan kerjasama berterusan ini dalam bidang-bidang yang dipersetujui bersama demi ekonomi kedua-dua negara yang lebih sejahtera. – MalaysiaGazette
















