Mohd Hisham Harun (tengah) pada sidang media di Al Tayseer, Makkah.

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi berpesan kepada rakyat Malaysia bahawa hanya mereka yang mempunyai visa haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan haji.

Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun berkata, Kerajaan Arab Saudi telah memberikan peringatan tegas selain visa haji, sama ada visa lawatan, pelancongan, pekerjaan, pelajar dan sebagainya, tidak akan dibenarkan untuk memasuki kawasan Makkah terutamanya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Jelasnya, sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, hukuman mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa Arab Saudi akan dikenakan.

Malah, katanya, tindakan ini juga akan memberi kesan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi ketika ini.

“Jadi ingat, tiada visa, tiada haji,” katanya dalam taklimat mingguan hari ini ini.

Namun, setakat ini, TH tidak menerima laporan berlaku kemasukan rakyat Malaysia ke Tanah Haram tanpa visa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, peluang untuk melaksanakan ibadah korban di Tanah Suci melalui TH masih terbuka melalui sistem THiJARI.

Katanya, kadar harga yang ditetapkan adalah sebanyak RM810 bagi seekor qibas.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast