Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan sedang meneliti sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) sebagai alternatif bagi menggantikan perolehan misil anti kapal (NSM) dari Norway yang dibatalkan, sekali gus memastikan keupayaan serangan maritim Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak terjejas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keperluan mendapatkan sistem baharu itu amat mendesak memandangkan aset strategik seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) serta kapal kelas frigat iaitu KD Lekiu dan KD Jebat kini tidak mempunyai keupayaan peluru berpandu tersebut.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menilai dan mengenal pasti sistem pengganti yang sesuai, namun proses itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana melibatkan integrasi sistem kompleks di atas kapal.

“Ketika ini, satu jawatankuasa sedang meneliti perkara tersebut. Apa yang penting bagi kita ialah mendapatkan bekalan pengganti secepat mungkin.

“Namun, perkara ini bukan mudah. Ia bukan seperti membeli kereta yang sudah tersedia. Sistem ini perlu ditempah mengikut spesifikasi tertentu dan mesti boleh berhubung serta berintegrasi dengan sistem lain di dalam kapal,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program ProWira Ready To Work Graduate dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal pertahanan melaporkan Norway telah membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran NSM yang dibangunkan oleh Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa notis awal kepada Malaysia.

Difahamkan, keputusan itu dimaklumkan kepada Mohamed Khaled Nordin dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April lalu, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC).

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses perolehan sistem baharu mengambil masa kerana setiap kapal mempunyai sistem komunikasi, elektrik dan pelbagai komponen berbeza yang perlu disepadukan dengan peluru berpandu berkenaan.

“Sistem peluru berpandu itu mesti boleh disepadukan dan berhubung dengan kesemua sistem tersebut. Oleh itu, proses pembangunannya akan mengambil masa.

“Bagaimanapun, kita sedang mencari pilihan yang boleh dipercepatkan. Kita perlu membuat pilihan yang tepat dan terbaik demi kepentingan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast