Menteri Pertahanan , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan peranti kepada wakil pelajar pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta bagi melaksanakan Program ProWira Ready To Work Graduate yang bakal memberi peluang kepada 300 graduan dalam kalangan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalani latihan pekerjaan bersama syarikat terpilih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program menerusi Yayasan LTAT itu dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh agenda kesejahteraan anggota tentera dan keluarga mereka menerusi aspek pendidikan serta peluang pekerjaan.

Menteri Pertahanan , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada media selepas Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MEI 2026.

Menurut beliau, program tersebut memberi tumpuan kepada graduan terdiri daripada anak anggota ATM yang masih berkhidmat, veteran ATM serta warga Kementerian Pertahanan.

“Sepanjang tempoh 12 bulan berada di syarikat yang terlibat, peserta akan menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan yang dibayar kerajaan melalui Yayasan LTAT.

“Kita berharap keberadaan mereka dalam syarikat benar-benar dapat memberi pengalaman dan membantu mereka berjaya dalam alam pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program ProWira Ready To Work Graduate dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut berharap syarikat terlibat dapat mempertimbangkan peserta program untuk diserap sebagai pekerja tetap selepas tamat latihan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kesejahteraan anggota ATM merupakan antara tonggak utama Kementerian Pertahanan kerana ia bukan sahaja melibatkan soal kebajikan dan sosioekonomi, malah memberi kesan kepada kesiapsiagaan pertahanan negara.

Katanya, kesiapsiagaan anggota ATM tidak hanya bergantung kepada latihan fizikal dan taktikal, tetapi turut dipengaruhi kesejahteraan kehidupan diri dan keluarga mereka.

“Anggota yang sejahtera dari segi fizikal, mental, kewangan dan keluarga adalah anggota yang lebih berdaya tahan dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab serta misi mereka,” ujarnya.

Menteri Pertahanan , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan replikan cek berjumlah Rm 1,200.000.00 kepada Pengerusi Interim Affin Bank Berhad, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MEI 2026.

Beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan LTAT memainkan peranan penting sebagai instrumen Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menterjemahkan dasar kesejahteraan kepada tindakan yang memberi impak langsung kepada anggota tentera.

Menurutnya, pelbagai program pendidikan yang dilaksanakan sebelum ini seperti Program Perkasa SPM, Sentuhan Elit, STEM dan kemahiran keluarga tentera telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

“Seramai 175 anak tentera berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM melalui program yang dijalankan.

“Malah, empat sekolah dalam kem tentera turut mencatatkan peningkatan gred purata sekolah yang positif menerusi Program Sentuhan Elit SPM,” katanya.

Beliau berharap kerjasama strategik antara kerajaan, syarikat korporat dan institusi pengajian tinggi dapat terus diperkukuh bagi memastikan agenda kesejahteraan warga ATM terus diperkasakan. – MalaysiaGazette

Menteri Pertahanan , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 MEI 2026.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast