Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail).

PETALING JAYA – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan, hari ini.

Perkara itu dilafazkan Rafizi dalam program hala tuju politik beliau bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Saya Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan dengan ini mengumumkan saya akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan berkuatkuasa esok.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat esok untuk memaklumkan keputusan saya meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan,” katanya.

“Saya Rafizi Ramli mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen Pandan berkuatkuasa esok, Isnin,” katanya ketika mengumumkan hala tuju politik beliau bersama Nik Nazmi di sini hari ini.

Nik Nazmi turut membuat pengumuman sama.

Dalam majlis itu juga, Rafizi dan Nik Nazmi turut mengumumkan penyertaan mereka yang menyertai Parti Bersama Malaysia berkuatkuasa Selasa ini.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa ini untuk memaklumkan keputusan itu,” katanya.

Rafizi dalam masa sama turut menyatakan akan menumpukan sepenuh tenaga untuk membentuk dan melatih generasi pimpinan muda dalam parti Bersama.

“Kami bukanlah yang terbaik dari kalangan kita semua. Kami banyak kelemahan dan kekurangan.

“Kami diberi amanah untuk membawa obor idealisme ini sementara kami masih ada kekuatan supaya satu hari nanti kami boleh wariskan obor itu kepada pimpinan generasi muda terutamanya dari kalangan millennials dan Gen Z,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast