Universiti Sains Malaysia (USM).

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan institusi tahfiz mencerminkan peralihan strategik ke arah pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan holistik tanpa mengabaikan ketetapan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Calon-calon aliran tersebut perlu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan diperakui oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mereka boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program-program tertentu di IPTA yang telah dikenal pasti serta tertakluk kepada syarat am dan syarat khas program yang ditetapkan oleh universiti melalui proses pemilihan berdasarkan meritokrasi.

Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berpandangan, syarat wajib kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan lulus dalam mata pelajaran Sejarah peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) adalah sebagai instrumen asimilasi dalam memastikan bahawa walaupun IPTA meraikan kepelbagaian latar belakang akademik, pematuhan kepada Falsafah Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan tetap menjadi teras utama dalam memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara.

Katanya, peranan Senat Universiti Awam sebagai badan tertinggi dalam membuat sebarang ketetapan dan dasar akademik masih lagi terpelihara dalam memacu hala tuju kecemerlangan akademik dan membangunkan bakat masa hadapan.

Jelas beliau, Senat Universiti masih mempunyai autonomi penuh dalam menentukan kelayakan akademik bagi kemasukan ke sesuatu program, unjuran dan syarat tambahan lain sebagai kelayakan masuk ke IPTA.

“Pendekatan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam merungkai polarisasi sistem pendidikan dengan meluaskan akses mobiliti sosial kepada kumpulan pelajar yang berada di luar aliran perdana.

“Pelajar tahfiz kini diberikan laluan profesional ke program pengajian Islam, manakala lepasan UEC boleh mengakses program pengkhususan seperti Pengajian Bahasa dan Linguistik Cina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kepelbagaian latar belakang itu memperkayakan wacana akademik dan memberi nilai tambah strategik kepada ekosistem kerjaya dan keperluan komuniti serta mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keseimbangan, kemampanan, hormat, kesejahteraan, keharmonian dan kestabilan sosial terus terpelihara.

“Secara keseluruhannya pihak USM berpandangan keputusan ini merupakan satu inisiatif untuk menyeimbangkan antara tuntutan memperkasa perpaduan nasional menerusi penguasaan bahasa kebangsaan dan keperluan semasa untuk membina masyarakat berpengetahuan yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast