Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan rujukan isu perlembagaan berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal memperoleh perintah Mahkamah Tinggi bagi menyekat akses terhadap aset bernilai kira-kira RM548 juta yang didakwa dikaitkan dengan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Juga anak Tun Daim serta tujuh pihak lain di Singapura.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin.

Beliau memutuskan pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi membolehkan perintah larangan akses terhadap aset berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurutnya, mahkamah berpendapat bukti yang dikemukakan SPRM tidak memenuhi syarat yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang terbabit.

“Bukti yang dikemukakan gagal memenuhi keperluan di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA, justeru permohonan itu ditolak,” katanya .

Pada prosiding itu, SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala Na’imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin Daim dan tujuh pihak lain diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Berdasarkan permohonan difailkan sebelum ini, SPRM memohon perintah mahkamah bagi menghalang Na’imah, anaknya, dua individu lain, lima syarikat serta mana-mana pihak berkaitan daripada mengurus, memindahkan atau berurusan dengan aset yang didakwa berada di luar Malaysia.

Aset terbabit membabitkan wang pelaburan bernilai £21 juta dan AS$99 juta yang ditempatkan dalam beberapa akaun bank di Singapura.

Pada 19 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan itu secara ex-parte iaitu permohonan dibuat sebelah pihak tanpa kehadiran responden ketika permohonan awal dikemukakan di mahkamah.

Permohonan berkenaan dibuat di bawah peruntukan AMLATFPUAA 2001 yang membolehkan pihak berkuasa mendapatkan perintah sementara bagi menyekat akses atau urusan melibatkan aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti haram atau pengubahan wang haram sementara siasatan dijalankan.

Kes berkenaan merupakan antara beberapa tindakan perundangan dan siasatan yang dikaitkan dengan keluarga Allahyarham Tun Daim sejak tahun lalu, termasuk isu pengisytiharan aset dan pemilikan harta di luar negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast