Penggunaan bahasa Bengali di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur cetus persoalan mengapa tiada bahasa Tamil disediakan.

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) menggesa pihak Terminal Bersepadu Selatan (TBS) tampil memberikan penjelasan berhubung ketiadaan pilihan bahasa Tamil pada sistem kios dan paparan digital di hab pengangkutan itu.

Presidennya, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, isu berkenaan menimbulkan persoalan mengapa bahasa Tamil terus diketepikan dalam kemudahan awam walaupun ia merupakan antara bahasa utama yang digunakan masyarakat India di negara ini.

Menurutnya, sebagai hab pengangkutan utama negara yang digunakan rakyat pelbagai kaum, TBS sepatutnya mencerminkan semangat keterangkuman dan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Bahasa Tamil bukan sekadar medium komunikasi, tetapi turut melambangkan identiti, warisan budaya dan sejarah panjang masyarakat India Tamil yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita hairan apabila pilihan bahasa lain seperti Bahasa Melayu, English, Mandarin dan Bengali disediakan dalam sistem perkhidmatan TBS, namun bahasa Tamil langsung tidak diberikan tempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar.

Beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa kecewa dan tersisih dalam kalangan masyarakat India Tamil di negara ini.

Katanya, tuntutan supaya bahasa Tamil dimasukkan ke dalam sistem perkhidmatan TBS bukan bersifat ekstrem atau berunsur perkauman, sebaliknya demi memastikan semua komuniti diberi layanan adil.

“Dalam era Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat dan keterangkuman, isu seperti ini tidak sepatutnya dipandang remeh.

“Kemudahan awam perlu bersifat mesra rakyat dan mengambil kira realiti masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Sivakumar turut menggesa pihak pengurusan TBS serta kementerian berkaitan mengambil tindakan segera dengan memasukkan pilihan bahasa Tamil dalam sistem perkhidmatan mereka.

“Malaysia dibina atas semangat perpaduan dan saling menghormati. Maka semua bahasa dan budaya rakyat Malaysia harus diberi pengiktirafan yang adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast