SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini melepas dan membebaskan seorang pemilik premis mencuci kereta daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 764.4 gram, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hakim Dr. Hazlina Hussain membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan terhadap Harvin Singh Ranjit Singh, 33.
Harvin sebelum ini didakwa mengedar methamphetamine seberat 764.4 gram di kawasan parkir bawah tanah P2, Bangunan Jaya One, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, Seksyen 13, Petaling Jaya pada 15 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Hazlina memutuskan keterangan saksi pendakwaan ketiga (SP3), yang juga teman wanita tertuduh, kekal kredibel walaupun pihak pendakwaan menjalankan prosiding saksi belot terhadap wanita itu.
Mahkamah mendapati SP3 berjaya menjelaskan percanggahan yang dibangkitkan pihak pendakwaan ketika pemeriksaan balas oleh pembelaan, termasuk berkaitan penggunaan kereta yang dikaitkan dalam kes tersebut.
Menurut hakim, keterangan seseorang saksi tidak boleh ditolak semata-mata kerana mempunyai hubungan dengan tertuduh, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kerelevanan dan kebolehpercayaannya.
Mahkamah turut mendapati terdapat kelemahan ketara dalam siasatan pegawai penyiasat termasuk kegagalan menyiasat kemungkinan pekerja-pekerja tertuduh yang mempunyai akses kepada kereta berkenaan.
Selain itu, mahkamah turut mengambil kira kegagalan pihak penyiasat mengemukakan kenderaan yang didakwa mengalami kerosakan bonet ke mahkamah sebagai bahan bukti.
Sehubungan itu, mahkamah mengguna pakai ‘adverse inference rule’ di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap kegagalan berkenaan.
Hazlina turut memutuskan tiada keterangan mencukupi menunjukkan tertuduh mempunyai kawalan terhadap dadah yang ditemukan.
Mahkamah juga mengambil kira tangkapan dibuat tanpa unsur kekerasan, manakala dakwaan bahawa tertuduh cuba melarikan diri berjaya dijelaskan oleh SP2.
Walaupun sebuah telefon bimbit dirampas, mahkamah mendapati tiada keterangan dikemukakan oleh saksi pendakwaan yang mengaitkan telefon tersebut dengan sebarang aktiviti pengedaran dadah.
Sementara itu, peguam bela Datuk Geethan Ram Vincent memberitahu MalaysiaGazette, keputusan mahkamah membuktikan setiap siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak boleh bergantung kepada andaian semata-mata.
“Mahkamah telah meneliti keseluruhan keterangan secara terperinci dan mendapati wujud kelompongan ketara dalam siasatan serta pembuktian pihak pendakwaan,” ujarnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris, manakala Harvin diwakili Geethan bersama peguam Sangkari Sellathoray. -MalaysiaGazette
















