KUALA LUMPUR – Isu pengurusan dan kewangan Kuala Lumpur City FC kini dilaporkan berada dalam keadaan lebih stabil termasuk membabitkan tunggakan gaji pemain dan kakitangan, kata penaung kelab itu, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, beberapa isu yang sebelum ini membelenggu kelab berjaya diuruskan dengan lebih baik susulan penambahbaikan yang dilakukan dalam pentadbiran dan pengurusan dalaman KL City FC sejak beliau dilantik sebagai penaung.
“Usaha berterusan telah dilakukan bagi memastikan kelab berkenaan dapat beroperasi dengan lebih teratur dan tersusun.
“Beberapa perkara telah ditambah baik dan kita lihat isu-isu berkaitan penggajian serta tunggakan kini lebih terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, isu berkaitan dana kelab dijangka tidak lagi menjadi masalah besar pada masa akan datang berikutan beberapa langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan pihak pengurusan.
Katanya, aspek pengurusan kewangan dan pentadbiran perlu diperkukuh bagi mengelakkan isu sama berulang pada musim akan datang selain memastikan operasi kelab terus terjamin.
“Kita percaya isu dana insya-Allah tidak lagi menjadi satu isu yang terlalu besar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa proses dalaman sedang disusun semula bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang halangan.
Tambahnya, semua pihak perlu memberi ruang kepada pengurusan kelab untuk melaksanakan tanggungjawab secara lebih profesional demi memastikan KL City FC kekal kompetitif tanpa dibebani masalah kewangan berulang.
“Kita akan uruskan beberapa perkara untuk pastikan aspek pelaksanaan tidak ada halangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















