MAKKAH – Jemaah haji Malaysia yang melontar jamrah pada hari ke-12 sebelum masuk waktu Subuh dikhuatiri melakukan lontaran tidak sah, sekali gus menjejaskan status nafar awal mereka.
Sehubungan itu, Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Pejabat Operasi Bimbingan (PPO Bimbingan) menasihatkan jemaah terlibat supaya mengulangi semula lontaran berkenaan.
Menerusi poster peringatan yang dikongsikan di media sosial, PPO Bimbingan memaklumkan kegagalan mengulangi lontaran boleh menyebabkan nafar awal tidak sah.
Mengulas perkara itu, Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) bertauliah di bawah TH menjelaskan, syarat nafar awal ialah jemaah perlu melontar pada hari ke-11 dan ke-12 di Jamrah Sugra, Wusta dan Kubra serta bermalam di Mina pada malam ke-11 dan ke-12.
Yusnah Yusuf berkata, jemaah juga perlu keluar dari Mina sebelum matahari terbenam pada hari ke-12, selain berniat melakukan nafar awal dan tidak kembali semula ke Mina.
“Dalam al-Quran disebut, sesiapa yang ingin keluar dari Mina pada hari ke-12 atau ke-13 tidak berdosa, namun hendaklah dilakukan dengan penuh ketakwaan.
“Jika ada jemaah melontar sebelum Subuh, contohnya pada jam 2.30 pagi atau 3 pagi sedangkan waktu Subuh sekitar jam 4.12 pagi, maka lontaran itu tidak sah.
“Sekiranya mereka tetap keluar dari Mina untuk nafar awal, syarat melontar tidak dipenuhi kerana lontaran hari ke-12 tidak sempurna. Maka secara automatik, nafar awal mereka juga tidak sah, tidak terpakai,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Oleh itu, nasihat beliau, jemaah yang terlibat perlu kembali ke Mina untuk melontar semula bagi hari ke-12 dan ke-13 serta bermalam pada malam ke-13 di Mina.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya terdapat jemaah meninggalkan Mina dalam keadaan nafar awal tidak sah kerana perkara itu boleh menyebabkan mereka dikenakan dam.
Jelas beliau, apabila nafar awal tidak sah atau tidak dikira, jemaah berkenaan dikenakan dam seekor kambing sebab tidak melontar pada hari ke-12 dan 13 dan tidak bermalam pada hari ke-13 dikenakan secupak makanan.
Nasihatnya, setiap ibadah dalam haji perlu dilakukan dengan tenang dan tertib, bukannya secara tergesa-gesa.
“Kita bukan berlumba siapa cepat atau siapa dulu. Dalam ibadah, kita mahu lakukan yang terbaik untuk mengejar haji mabrur, bukan sekadar asal siap,” katanya.
Beliau turut menegur sikap segelintir jemaah yang lebih cenderung bertanya sama ada perlu membayar dam atau tidak selepas melakukan kesilapan, berbanding memikirkan soal dosa dan taubat.
“Kalau kesilapan itu berdosa dan dilakukan dengan sengaja, maka mereka perlu bertaubat kepada Allah.
“Jangan jadikan alasan jahil kerana TH sudah menyediakan pelbagai kursus seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji, selain pelbagai penerangan di televisyen, penulisan haji di media massa serta infografik dalam aplikasi e-Taib.
“Mungkin ada jemaah yang tidak cakna, tidak mengambil berat dan menganggap ibadah ini sambilan, sedangkan haji adalah ibadah sekali seumur hidup,” katanya.
Terdahulu isu ini menarik perhatian jemaah haji apabila ada dalam kalangan mereka keluar melontar di luar waktu yang ditetapkan oleh TH iaitu waktu malam (selepas Maghrib hingga subuh) atau awal pagi bagi mengelakkan cuaca panas terik dan kesesakan.
Jemaah dilarang sama sekali melontar pada waktu kemuncak (10 pagi hingga 2 petang waktu Arab Saudi) bagi menjaga kesihatan dan keselamatan.
Tindakan jemaah haji yang melakukan lontaran di luar waktu cadangan ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka tersasar (tersesat) dan pengsan akibat kesesakan dan kepenatan. – MalaysiaGazette
















