Seorang bayi perempuan dicampak dari tingkat 10 rumah flat di PPR Melana Indah, Johor Bahru pada 2 Mei lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita tempatan yang mencampak bayinya baru lahir dari tingkat 10 di sebuah rumah flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di sini pada 2 Mei lalu dan menyebabkan kematian, akan didakwa esok.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek iaitu seorang wanita tempatan berusia 22 tahun merupakan ibu kandung kepada bayi perempuan berkenaan.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pertuduhan tersebut dibuat selepas kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, sebelum itu siasatan mendapati seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dibuang dari tingkat 10 di sebuah rumah sebuah flat pada pukul 2.40 petang, pada 2 Mei lalu.

Menurutnya, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan berkaitan penemuan mayat bayi perempuan itu yang dipercayai baru dilahirkan di kawasan parkir kenderaan di sebuah rumah flat.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut dicampakkan dari tingkat 10 flat berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, pukul 12 tengah hari tadi pihak polis menahan suspek di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” ujarnya.

Beliau berkata, tangkapan dibuat berdasarkan keterangan yang ada terhadap suspek kerana membuang bayi yang masih bernyawa dari tingkat 10 sehingga menyebabkan kematian.

Tambahnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

“Beberapa keterangan saksi-saksi telah diambil dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan terima arahan pertuduhan esok,” katanya.

Chuan Huat pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes berkenaan.

“Orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menjurus kepada perbuatan jenayah yang menyalahi undang-undang,” tambahnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast