Garisan Polis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 OGOS 2024.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian pada 2 Mei lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi berkenaan di kawasan parkir flat berkenaan sekitar 2.40 petang.

Beliau berkata tangkapan terhadap suspek berusia 22 tahun itu dilakukan sekitar 12 tengah hari tadi di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Tangkapan dibuat berdasarkan keterangan yang ada terhadap suspek yang telah membuang bayi yang masih bernyawa dari tingkat 10 sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan beberapa keterangan saksi telah diambil dengan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini esok. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast