Tular video memaparkan sebuah kereta Mercedes-Benz C240 dipandu secara berbahaya di Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat, semalam.

SEGAMAT – Polis menahan seorang warga emas kerana memandu kereta jenis Mercedes-Benz C240 secara berbahaya di Kilometer 179 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat sini semalam.

Perbuatan lelaki tersebut berjaya dirakamkan sebelum video kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya mengesan video tersebut yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini yang memaparkan sebuah kereta memotong kenderaan lain secara berbahaya di jalan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pukul 3.16 petang semalam.

“Kejadian itu melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes-Benz C240 yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang sedang bergerak dari arah Segamat menuju ke Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu berkenaan didapati melakukan perbuatan memotong kenderaan lain secara berbahaya sehingga boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Pemandu terbabit kemudian berjaya dikenal pasti dan tindakan saman dikeluarkan di bawah Kaedah 6(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59) atas kesalahan memotong secara berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tegasnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya, khususnya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast