KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun membatalkan sidang media di Bilik Gerakan Wisma Negeri pada saat akhir kerana mempunyai urusan penting.
Sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap pagi tadi, dirancang pada jam 1.30 tengah hari.
Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan pembatalan kepada media yang sedia menunggu di Wisma Negeri.
“Sidang media Menteri Besar yang dijadualkan pada jam 1.30 tengah hari ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“YAB Menteri Besar mempunyai urusan penting,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, Aminuddin telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bermula jam 11 pagi tdan selesai sekitar jam 12.30 tengah hari.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menghadap Tuanku Muhriz selama lebih satu jam pagi tadi.
Turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Walaupun menjadi rutin Menteri Besar menghadapi Tuanku Muhriz, namun ia menjadi perhatian susulan dakwaan mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
Semalam Aminuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar.,
Bagaimanapun media melaporkan, mesyuarat itu yang memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRN.-MalaysiaGazette
















