Ahli Perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mendakwa masih belum menerima sebarang saman fitnah yang dikatakan akan difailkan terhadapnya.

Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk mendedahkan segala dakwaan berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di mahkamah.

Menurut Albert Tei, walaupun hari Rabu yang disebut-sebut sebelum ini telah berlalu, beliau masih belum menerima dokumen saman berkenaan dan berharap tiada alasan diberikan berhubung kelewatan penghantaran tersebut.

“Saya tidak terima konon saman fitnah yang dikatakannya. Jangan nanti bagi alasan hantar salah alamat atau saman itu hilang ketika proses penghantaran. Saya menunggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, proses mahkamah itu penting bagi membolehkannya mendedahkan kepada umum mengenai perkara yang didakwanya berlaku ketika Azam masih memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Albert Tei turut mendakwa Azam pernah menyalahgunakan kuasa ketika memegang jawatan tersebut untuk mengugutnya, selain mendakwa tindakan saman yang mahu diambil kini merupakan satu bentuk tekanan terhadap dirinya.

“Ketika Azam berkuasa, dia menyalahgunakan kuasanya untuk mengugut saya. Namun selepas dia hilang kuasa, dia cuba menyalahgunakan proses saman untuk memberi tekanan dan menakutkan saya,” dakwanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Azam kini tidak lagi memegang sebarang jawatan yang memberikan kekebalan atau kuasa seperti sebelum ini dan mendakwa sudah tiba masanya segala tindakan lampau dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan balas diperoleh daripada pihak Azam berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Albert. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast