Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap ahli perniagaan Albert Tei berhubung kenyataan yang diterbitkan di media sosial dan platform dalam talian.

Saman itu berkaitan penerbitan dan penerbitan semula kenyataan mengenai Azam menerusi sebuah podcast, YouTube Shorts dan penerbitan dalam talian lain.

Firma guaman Zain Megat & Murad yang mewakili Azam dalam kenyataan memaklumkan, writ saman dan penyata tuntutan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Dalam kenyataan itu, firma berkenaan memaklumkan, Azam menuntut ganti rugi serta perintah injunksi kekal terhadap defendan.

“Anak guam kami menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar. Prosiding ini dimulakan bagi mempertahankan reputasi serta nama baiknya yang dibina sepanjang hampir empat dekad berkhidmat dalam sektor awam,” kata firma guaman itu hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Azam dan peguam beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai merit kes berkenaan kerana isu yang dibangkitkan akan melalui proses perbicaraan.

“Kami percaya semua pihak akan menghormati proses mahkamah yang sedang berlangsung,” ujar kenyataan itu.

Sebelum ini, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 38, membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan pertikaian dan siasatan yang sedang berjalan.

Antara lain, lelaki itu mendakwa beliau telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.

Sehubungan itu, polis menyiasat laporan yang dibuatnya pada 13 Mei lalu yang mendakwa berlaku ugutan jenayah membabitkan peguam Azam.

Pada 3 Jun, Azam yang bersara bulan lalu, memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman manakala siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast