BAYAN LEPAS – Malaysia menilai pelbagai sumber baharu bekalan minyak mentah dari beberapa rantau dunia dalam usaha memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara termasuk mengambil kira kesesuaian kemudahan pemprosesan sedia ada.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, setiap minyak mentah mempunyai karakter berbeza mengikut negara pengeluar, justeru aspek teknikal dan keupayaan fasiliti tempatan menjadi pertimbangan utama sebelum sesuatu sumber diterima.
Kata beliau, antara negara yang sedang dipertimbangkan sebagai sumber alternatif termasuk beberapa negara di Afrika seperti Gabon, Cameroon, Angola, Sudan, Congo, Libya dan Nigeria.
“Selain itu, Amerika Syarikat serta negara-negara di Amerika Selatan turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang bekalan, di samping produk petroleum ditapis yang banyak diimport dari Singapura.
“Kita tahu setiap bekalan minyak mentah yang datang daripada kawasan yang berbeza mempunyai karakter minyak yang berbeza dan sebab itu biasanya pihak Petronas yang akan menilai dari segi ketersediaan fasiliti kita untuk menerima bekalan berkenaan.
“Jadi kita bukan semata-mata nak cari minyak di semua tempat tetapi bagaimana bekalan daripada sesetengah tempat itu sesuai dengan fasiliti yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas sama ada Malaysia sedang meneroka negara pengeluar minyak baharu susulan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlaku di Asia Barat.
Sementara itu, mengulas isu kadar kehilangan pekerjaan, Akmal Nasrullah berkata, data terkini berhubung perkara itu akan diumumkan esok selepas kerajaan melengkapkan semakan bagi bulan Mei.
“Kita masih menunggu data lengkap bulan Mei bagi memastikan gambaran sebenar mengenai situasi pekerjaan dan pemberhentian pekerja dapat disampaikan kepada orang ramai.
“Saya akan kongsikan maklumat yang terkini kerana biasanya kita menunggu data lengkap bagi bulan berkenaan untuk memberikan gambaran sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette
















