KUALA LUMPUR – Pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, nama parti itu mendapat cetusan idea dan diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kata Ahli Parlimen Larut itu, Wawasan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya minggu depan.
“Kami akan melakukan AGM pertama minggu depan dan parti yang hendak saya maklumkan ini, namanya diberikan oleh ayahanda saya, tidak lain, parti itu diberi nama oleh Tok Guru Ayah Chik (Abdul Hadi), parti itu itu bernama Parti Wawasan Negara.
“Ayah Chik yang berikan nama ini, cuma kami ini baru dilahirkan, kalau tidak dijaga ayahanda, tidak diangkat, ditatih ayahanda, tidak tahu hala tuju, kami mahu bersama Pas, Gerakan, parti-parti lain yang ada.
“Insya-Allah kita akan bersama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik komprehensif yang menyakinkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen RESET yang dirasmikan Abdul Hadi di Tanah Merah, Kelantan hari ini.
Yang turut hadir, pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau. – MalaysiaGazette
















