KUALA LUMPUR – Klinik Kesihatan (KK) Kajang menerima purata 1,000 hingga 1,200 pesakit sehari, jauh melebihi kapasiti maksimum sekitar 500 orang sehari.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan, peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan pesat penduduk di Mukim Kajang, yang kini dianggarkan melebihi 457,000 orang.
Menurut jabatan itu, jumlah tersebut terus meningkat setiap tahun menyebabkan berlaku kesesakan di klinik berkenaan.
“JKNS mengambil maklum mengenai hantaran tular di media sosial berhubung isu kesesakan di KK Kajang yang merupakan Klinik Kesihatan Jenis 3 yang direka untuk menampung sekitar 300 hingga 500 pesakit sehari.
“JKNS memandang serius perkara ini dan memahami kesulitan yang dialami oleh pelanggan susulan situasi tersebut,” demikian menurut jabatan itu menerusi kenyataan dalam laman Facebook.
Menurut jabatan itu, semakan mendapati kesesakan menjadi lebih ketara terutama selepas cuti panjang.
Jelasnya ini kerana jumlah pesakit yang tinggi termasuk pesakit tanpa janji temu, serta kekangan ruang menunggu yang terhad dan dikongsi antara pesakit luar dan pelanggan farmasi.
Bagi mengurangkan kesesakan, JKNS berkata, pihak klinik telah memperkukuh kawalan aliran pesakit, melaksanakan kemasukan secara berperingkat mengikut waktu janji temu dan menggalakkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tempahan slot rawatan.
Selain itu, JKNS sedang memperincikan pelaksanaan kemudahan loker ubat bagi pesakit kronik yang stabil untuk mempercepatkan proses pengambilan ubat tanpa perlu beratur di kaunter farmasi.
Ujarnya, pada masa yang sama, cadangan menaik taraf ruang farmasi dan memperluaskan ruang menunggu turut diberi perhatian sebagai penyelesaian jangka panjang.
Masyarakat sekitar juga boleh mendapatkan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Semenyih yang mula beroperasi pada 2 Mac lalu lalu yang hanya berjarak kira-kira 3.8 kilometer dari KK Kajang bagi membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti tersebut.
JKNS komited untuk terus memantau dan menambah baik penyampaian perkhidmatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan selesa dapat diberikan kepada masyarakat. – MalaysiaGazette
















