Logo Angkatan Tentera Darat Malaysia

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggotanya, Koperal Norazmi Abu Bakar dan Prebet Siti Khadijah Sungip meninggal dunia akibat letupan semasa latihan membaling grenad dalam Latihan Platun Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang dilaksanakan di Kem Hobart, Gurun, Kedah, kira-kira 10.57 pagi, hari ini.

Katanya, Norazmi dari 6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Siti Khadijah dari 1 Skuadron RAJD mengalami kecederaan akibat letupan itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Jenazah akan dihantar ke hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani post mortem.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan dua warganya dan menyampaikan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga mangsa dan mendoakan mereka bertabah dengan dugaan atas kehilangan orang yang tersayang,” kata TDM dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Azhan turut mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tentera Darat Malaysia memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian dan penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Tentera Darat Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, polis mengesahkan dua anggota tentera maut akibat terkena bom ketika menjalani latihan di lapang sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Hanyan Ramlan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima maklumat pertama berhubung insiden itu jam 12.30 tengahari tadi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast