KUALA LUMPUR – Kenyataan aktivis Rohingya, Noor Azizah yang dilihat semakin melampau dan berulang kali mengeluarkan naratif yang boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa wajar diberi perhatian serius.
Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dalam konteks hubungan antarabangsa, perkara seperti itu bukan isu kecil kerana melibatkan persepsi global terhadap dasar kemanusiaan dan kredibiliti negara.
“Lebih membimbangkan apabila kenyataan tersebut seolah-olah tidak mengambil kira realiti bahawa Malaysia telah menyediakan perlindungan, keselamatan dan ruang kehidupan kepada beliau serta keluarganya selama lebih lapan tahun sebelum mereka berhijrah ke negara ketiga,” katanya.
Beliau berkata, tindakan yang berterusan mengaitkan Malaysia dengan gambaran negatif tanpa keseimbangan fakta boleh dilihat sebagai tidak menghormati negara yang telah memberikan perlindungan ketika mereka berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.
“Oleh itu, perkara ini bukan sekadar isu kebebasan bersuara, tetapi turut menyentuh soal tanggungjawab moral dan sensitiviti terhadap negara yang pernah memainkan peranan penting dalam kelangsungan hidup mereka,” jelasnya.
Nur Ashikin turut menegaskan, dari sudut kepentingan nasional dan keselamatan negara, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia berpotensi mencalar reputasi Malaysia di mata dunia.
“Naratif yang tidak terkawal boleh memberi kesan kepada imej kerajaan, dasar luar negara serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pendekatan kemanusiaan Malaysia. Justeru, kerajaan perlu mengambil pendirian yang lebih tegas dan strategik dalam menangani isu ini,” tambahnya.
Beliau berkata, isu-isu seperti ini yang berpotensi mencalarkan imej kerajaan dan negara seharusnya diangkat serta ditangani secara agresif oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), termasuk melalui pendekatan komunikasi strategik dan “counter-narrative” yang berkesan, antaranya memperkukuh “rapid response mechanism“, membina “counter-narrative framework” yang konsisten, memperluaskan engagement dengan media antarabangsa, memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan serta melaksanakan kempen kesedaran awam domestik secara berterusan.
“Keseluruhannya, tindakan Noor Azizah yang semakin lantang dan berulang kali mengeluarkan kenyataan berunsur negatif terhadap Malaysia tidak boleh dipandang ringan.
“Ia menuntut respons yang tegas, tersusun dan strategik daripada kerajaan, khususnya melalui agensi komunikasi seperti J-KOM, bagi memastikan imej negara tidak terus terjejas dan kepentingan nasional sentiasa terpelihara,” katanya.
Kenyataan kontroversi Noor Azizah tular semula apabila ucapannya yang menyentuh nasib pelarian Rohingya di Malaysia ketika menerima anugerah ‘Marie Claire Women of the Year’ bagi kategori ‘Voice of Now’ 2025 di Australia mengundang kecaman warga maya.
Dalam ucapan berkenaan, beliau mendakwa lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia kini ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah.
Selain isu tersebut, Noor Azizah turut menjadi tumpuan selepas tular rakaman video memaparkan pendedahannya yang mengakui tiada keinginan untuk bertutur dalam bahasa Melayu meskipun sudah lama menetap di Malaysia, satu kenyataan yang turut mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial. – MalaysiaGazette

















hantar sajadia balik Rohingya. cabut kerakyatan warganegara Malaysianys. Kens ajar sikit dia ni