Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika bercakap pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Jun 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengesahkan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter di bawah mekanisme Budi Diesel hanya diberikan kepada warganegara yang memiliki kenderaan diesel sah dan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala diesel B7 tidak termasuk dalam pelaksanaan subsidi tersebut.

Pelaksanaan penuh mekanisme baharu itu akan bermula di seluruh negara pada 1 Julai dengan pengguna di Semenanjung Malaysia diberikan akses awal untuk memulakan transaksi pembelian diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter bermula Sabtu ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembelian diesel bersubsidi akan dipautkan kepada kad pengenalan pemilik kenderaan diesel yang layak, sekaligus memastikan hanya penerima yang sah dapat menikmati manfaat subsidi berkenaan.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika bercakap pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Jun 2026.

Menurut beliau, subsidi RM2.10 seliter di bawah program Budi Diesel hanya melibatkan biodiesel B10 dan adunan yang lebih tinggi seperti B12, selaras dengan usaha kerajaan memperluaskan manfaat subsidi kepada pemilik kenderaan diesel yang layak.

“Konsep yang kita buat adalah melebarkan Budi Diesel kepada pemilik kenderaan diesel.

“Jadi, hanya pemilik yang sah dan berdaftar di bawah JPJ boleh membeli diesel pada harga bersubsidi kerana ia dipautkan kepada kad pengenalan mereka,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di sini hari ini.

Mengulas mengenai diesel B7, Amir Hamzah menjelaskan, bahan api itu tidak akan menerima subsidi RM2.10 di bawah Budi Diesel.

Sebaliknya, harga diesel B7 akan ditentukan mengikut mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM) yang disemak setiap minggu.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju menanggung kos subsidi tambahan susulan peningkatan kadar campuran biodiesel bagi memastikan bekalan bahan api dalam negara kekal mencukupi.

Katanya, pengguna akan menikmati harga yang sama di stesen minyak tanpa mengira sama ada menggunakan B7, B10 atau B12.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, kadar diesel bersubsidi bagi kenderaan komersial di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 ditetapkan pada RM2.15 seliter, manakala bukan warganegara dan pengguna industri perlu membayar harga pam sepenuhnya.

Amir Hamzah berkata, orang ramai boleh mula menyemak kelayakan serta mengemukakan permohonan tambahan menerusi portal rasmi Budi Madani atau di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bermula hari ini.

Tambah beliau, kerajaan melalui kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak akan memastikan pelaksanaan mekanisme baharu itu berjalan lancar. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast