KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 motosikal disita manakala 53 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Sepadu (Op Motosikal) yang dijalankan di Jalan Jurutera, Kampung Seri Aman, Puchong Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 5.30 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan kerjasama Balai Polis Bukit Puchong.
Operasi berkenaan bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 85 individu dan 53 motosikal diperiksa. Hasil pemeriksaan, sebanyak 76 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selain 26 motosikal disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk aktiviti samseng jalanan dan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengakibatkan kemalangan serta kehilangan nyawa.
Katanya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkannya kepada balai-balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kegiatan berbahaya itu demi keselamatan awam. – MalaysiaGazette















