Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat pameran selepas merasmikan Majlis Penutup MyDrone Expo 2026 anjuran World UAV Federation Malaysia Chapter dan Malaysia UAV Developments (MUDA) di MAEPS Serdang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JUN 2026

SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia segera meneroka teknologi dan bidang-bidang baharu termasuk industri dron bagi memastikan negara terus kekal berdaya saing dan muncul sebagai ekonomi yang lebih berjaya.

Beliau berkata, negara sebelum ini berjaya dalam sektor getah, perindustrian dan semikonduktor dan kini  Malaysia menjadi antara pengukuhan utama di rantau ini dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

“Kalau Malaysia mahu menjadi negeri yang lebih berjaya, gagah dari segi ekonomi, mesti segera, cepat dan pantas dan lagi meneroka teknologi dan bidang-bidang baharu.

“Dron sebuah bidang yang terkait dengan digital dan AI, dan kita harus bina ekosistem yang sesuai dan wajar untuk kita,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Expo MyDrone 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Menurut beliau, pasaran UAV dijangka melebihi AS$55 bilion pada 2030, sekali gus membuktikan teknologi itu telah muncul sebagai pemangkin berkuasa kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Nilai teknologi ini tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan hanya menyokong sektor pertahanan tetapi ia juga mampu meningkatkan daya tahan negara dan memperbaiki kualiti penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Penutup MyDrone Expo 2026 anjuran World UAV Federation Malaysia Chapter dan Malaysia UAV Developments (MUDA) di MAEPS Serdang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JUN 2026

Anwar berkata, kestabilan politik dan pelaksanaan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting bagi menarik pelabur ke negara ini, khususnya dalam industri teknologi baharu.

“Pertama, kestabilan politik perlu kerana tanpa itu kita tidak dapat menarik pelabur.

“Pelabur akan datang apabila kita bercakap tentang dasar strategik dan rancangan industri baharu, mereka tahu meskipun memerlukan sedikit fleksibiliti kerana ini adalah inovasi baharu, tetapi ada kejelasan dalam kebijakan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan telah meminta semua agensi berkaitan memberikan sokongan yang diperlukan kepada industri UAV supaya pemain industri tidak perlu bimbang mengenai hala tuju dasar kerajaan.

“Saya telah meminta kerajaan, Kabinet, perusahaan penyelidikan sains dan semua agensi yang berkaitan untuk memberikan semua sokongan yang diperlukan sehingga mereka tidak perlu risau tentang kejelasan kerana kebijakan sudah jelas,” katanya.

Beliau berkata, teknologi dron bukan sahaja mempunyai kepentingan dalam sektor pertahanan, malah mampu membantu meningkatkan produktiviti serta digunakan dalam operasi menyelamat dan pengurusan bencana.

“Nilai teknologi dron ini tidak boleh dianggap kecil. Ia adalah untuk pekerjaan, kemajuan ekonomi, pertahanan dan juga untuk menyokong rakyat kita dan yang penting meningkatkan kualiti perkhidmatan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan komited untuk membangunkan ekosistem industri UAV negara termasuk dalam aspek penyelidikan, pelaburan, pengujian serta kerjasama antara industri, kerajaan, institusi penyelidikan dan universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast