KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC melepaskan khidmat 11 pemain tempatan dalam rombakan besaran dilakukan terhadap pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.
Antara pemain berkenaan membabitkan Anwar Ibrahim, Azrin Afiq, Hariz Kamarudin, Hadin Azman, Harith Thigarajah dan Noor Aidil.
“Pihak kelab ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan pemain tempatan yang tidak akan bersama skuad Negeri Sembilan FC bagi menghadapi kempen musim baharu nanti.
“Terima kasih atas segala keringat, pengorbanan, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sepanjang menyarung jersi keramat. Setiap memori suka duka dan perjuangan demi lencana di dada akan sentiasa tersemat dalam lipatan sejarah kelab ini.
“Kami mendoakan kejayaan dan kecemerlangan berterusan buat anda semua di mana jua anda melangkah selepas ini. Once a Jang, always a Jang!” tulis kelab itu di media sosialnya hari ini.
Sebelum ini, Negeri Sembilan FC turut menamatkan khidmat lima pemain import bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.
Lima pemain berkenaan membabitkan penyerang, Joseph Esso, Luis Enrique, Amirul Adli (pertahanan) serta dua pemain tengah Oday Kharoub dan An-Sangsu. – MalaysiaGazette
















