Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengadakan lawatan pada hari pertama pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel di Stesen Minyak Caltex Presint 8, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Julai 2026.

PUTRAJAYA – Program BUDI Diesel terus menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 80,000 pengguna telah memanfaatkan inisiatif itu sepanjang tempoh akses awal.

Ia sekali gus mencerminkan penerimaan yang baik terhadap pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurutnya, operasi pemantauan BUDI Diesel yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara hari ini bertujuan memastikan pelaksanaan program berjalan lancar pada hari pertama penguatkuasaan sepenuhnya.

Menurut beliau, program itu telah memulakan akses awal sejak 27 Jun lalu dan setakat ini pelaksanaannya berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah besar.

“Setakat di Semenanjung, kita telah memulakan akses awal sejak 27 Jun dan ia berjalan dengan lancar. Lebih 80,000 orang telah menggunakan BUDI Diesel sepanjang tempoh akses awal itu.

“Hari ini kita juga membawa satu perubahan yang baik apabila harga diesel di bawah program BUDI Diesel diturunkan kepada RM2.10 seliter,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata, penurunan harga itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memulangkan semula hasil penjimatan subsidi kepada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan menjangkakan lebih 700,000 individu layak menikmati manfaat Program BUDI Diesel dengan kadar subsidi yang diselaraskan secara seragam di seluruh negara.

Dalam pada itu beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memudahkan urusan pengguna selepas kerajaan mengambil kira maklum balas yang diterima.

Katanya, antara penambahbaikan tersebut ialah membenarkan pertukaran nombor pendaftaran kenderaan kepada ahli keluarga terdekat bagi kes-kes tertentu.

“Sejak kemudahan itu dibuka, sehingga semalam lebih 1,000 permohonan pertukaran kenderaan kepada ahli keluarga telah diterima,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada peniaga kecil, penjaja dan individu yang menggunakan diesel bagi tujuan pekerjaan, khususnya di kawasan pedalaman untuk memohon had pembelian melebihi kuota asal.

“Mereka yang memerlukan penggunaan diesel lebih tinggi boleh memohon peningkatan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter. Sehingga semalam, lebih 30,000 permohonan telah diterima dan diluluskan menerusi aplikasi yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga terus menambah baik pengalaman pengguna di stesen minyak dengan memperkenalkan penggunaan aplikasi digital yang membolehkan proses pengesahan dilakukan secara lebih pantas.

Katanya, petugas stesen minyak juga boleh membawa peranti mudah alih kepada pelanggan sekiranya pam tidak dilengkapi peralatan berkaitan bagi mempercepatkan urusan pengisian diesel.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), syarikat minyak serta agensi berkaitan yang bersama-sama memastikan pelaksanaan Program BUDI Diesel berjalan lancar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast