BATU PAHAT – Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja menyemarakkan suasana politik malah turut memberi limpahan kepada ekonomi setempat.
Rata-rata pengusaha perusahaan makanan tradisional menjangkakan peningkatan kunjungan dan tempahan daripada orang ramai.
Pengusaha Mi Siput Parit Karjo di Sri Gading, Ahmad Taufiq Nordin berkata, walaupun belum dapat dipastikan punca peningkatan pelanggan, kehadiran pengunjung sepanjang musim PRN dipercayai turut dipengaruhi promosi di media sosial dan penyebaran dari mulut ke mulut.
Menurutnya, perusahaan yang diasaskan pada 2019 itu pada asalnya menghasilkan mi kuning basah sebelum beralih kepada pengeluaran mi siput bagi menawarkan produk yang mempunyai jangka hayat lebih lama.
“Kami memilih untuk menghasilkan mi siput kerana ketahanannya boleh mencecah sehingga setahun sekali gus memudahkan penyimpanan dan pemasaran kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di kilangnya di Sri Gading di sini hari ini.

Ahmad Taufiq berkata, antara keunikan mi siput keluarannya ialah tekstur yang lebih rangup dan sesuai dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam usaha mengekalkan daya saing, pihaknya memperkenalkan pelbagai variasi produk sebagai strategi pemasaran selain perisa tradisional yang dimakan bersama sambal merah.
“Selain produk utama, kami turut menghasilkan mi siput berperisa nanas dan keju bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” ujarnya.
Mengulas mengenai aspek kualiti, beliau menjelaskan, penggunaan mesin automatik membantu memastikan ketebalan mi siput lebih konsisten berbanding kaedah manual yang digunakan sebelum ini.
“Dulu ketebalan mi sering berubah kerana bergantung kepada tenaga manusia. Selepas menggunakan mesin automatik, kualiti produk menjadi lebih seragam,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ahmad Taufiq berkata, promosi menerusi platform digital seperti TikTok dan TikTok Shop menjadi antara medium utama untuk memperluaskan pasaran ke seluruh negara.
“Melalui TikTok Shop, pelanggan dari seluruh Malaysia boleh mendapatkan produk kami dengan lebih mudah,” katanya.
Bagi pasaran luar negara pula, syarikat masih dalam proses mencari peluang eksport dengan mendapatkan bimbingan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk meneroka bantuan dan geran berkaitan.

Menurutnya, permintaan bulanan ketika tinggi mampu menjana hasil jualan melebihi RM5,000 manakala pada waktu biasa sekitar RM2,000 dan ke bawah.
“Secara fizikal, pasaran kami meliputi seluruh Johor selain turut menembusi Seremban,” katanya.
Beliau turut berharap dapat memperoleh pensijilan serta sokongan daripada agensi kerajaan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuhkan pemasaran produk pada masa depan.
Selain menambah baik pembungkusan, Ahmad Taufiq berkata, syarikat juga merancang menghasilkan lebih banyak inovasi berasaskan mi siput bagi memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah. – MalaysiaGazette
















