Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said melancarkan pelan strategik KEJORA pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 di Lotus Desaru, Johor. Foto SADIQ SANI, 02 JULAI 2026.

KOTA TINGGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongannya agar Pengerang dijadikan sebuah daerah baharu seperti yang dicadangkan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut bersetuju dengan cadangan pembinaan sebuah hospital di Pengerang susulan pertambahan penduduk di kawasan tersebut.

Katanya, cadangan berhubung pembinaan hospital itu akan dibawa ke peringkat Kabinet melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak lama lagi.

“Adalah sangat munasabah sebuah hospital baharu yang boleh menyantuni dan menangani permasalahan pesakit-pesakit di kawasan Pengerang.

“Saya juga menyokong permohonan menjadikan Pengerang satu daerah baharu seperti yang dicadang Ahli Parlimen Pengerang sendiri untuk mendapat kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Zahid berkata, pembinaan sebuah hospital dan menjadikan Pengerang daerah baharu merupakan perancangan masa hadapan pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersama-sama kerajaan negeri.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, menerusi pembentangan laporan tahunan Kejora dalam mesyuarat jemaah menteri semalam menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

Katanya, Kejora yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mencatatkan prestasi yang baik dan berharap pencapaian itu akan dapat diteruskan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast