Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hadir pada Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-72 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 04 SEPTEMBER 2026.

PENGKALAN CHEPA  – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, isu rasuah tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menjatuhkan pihak lawan, sebaliknya perlu dibanteras secara adil tanpa mengira kepentingan politik.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan juga tidak boleh dilakukan secara terpilih terhadap pihak tertentu, sedangkan salah laku membabitkan penerima rasuah, pemberi rasuah atau perantara yang mengatur urusan rasuah dalam kalangan pihak sendiri dibiarkan.

Menurut beliau, politik Islam yang ditunjukkan Rasulullah SAW menjadi contoh dalam memastikan kedaulatan undang-undang, keadilan dan integriti ditegakkan tanpa campur tangan berkepentingan dalam proses penguatkuasaan.

“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, tidak dinafikan terdapat kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang perlu diberikan perhatian serius.

Katanya, jika terdapat bukti yang mencukupi, perkara tersebut perlu dibawa ke mahkamah untuk diputuskan mengikut proses undang-undang dan bukan dibicarakan melalui media atau pentas politik.

“Apatah lagi menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu RCI Tabung Haji,” ujarnya.

Dalam pada itu Abdul Hadi mendakwa, kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan yang membimbangkan apabila berada di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa dikuasai kumpulan bukan Islam.

Beliau berkata, keadaan itu perlu dilihat dari sudut kepentingan maqasid al-syari’ah, termasuk keperluan menolak kemudaratan yang lebih besar.

“Bagi menghadapi keadaan sedemikian, tindakan bertujuan menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here