KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) mendapat tempat pertama Kategori Perbandaran Anugerah Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2026 di Pulau Pinang 12 September lalu.
MPKu mengungguli kategori tersebut dengan memperoleh markah tertinggi 96.29 peratus dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2026 melibatkan penyertaan 42 majlis perbandaran seluruh negara.
Yang di-Pertua (YDP) MPKu, Muhammad Shahril Azizi Abd Ghapar berkata, terdapat enam komponen yang diambil kira dalam penarafan tersebut dengan tiga daripadanya mendapat markah penuh.
“Kriteia utama melibatkan Pengurusan yang mencapai 15 peratus daripada penarafan yang ditetapkan iaitu 15 peratus. Kedua Perkhidmatan Teras mendapat 43.33 peratus daripada 45 peratus.
“Ketiga Pengurusan Pelanggan (13.33 peratus daripada 15 peratus) dan eempat Penyertaan Komuniti (14.63 peratus daripada 15 peratus).
“Bagi kelima Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam (PSCR) dan keenam Sijil Ketua Audit Negara (KAN), kedua-duanya juga mendapat markah penuh (15 peratus daripada 15 peratus),” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas menerima Lawatan Penandarasan Pengurusan Aduan dan Khidmat Pelanggan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ke bangunan MPKu di bandar ini hari ini.
Katanya, MPKu mendapat markah penuh bagi PSCR pada kali ini sekali gus menewaskan 41 majlis perbandaran lain yang menjadi antara faktor utama menang anugerah tersebut pada tahun ini.

Beliau berbesar hati dengan pencapaian tersebut yang merupakan usaha gigih kakitangan MPKu termasuk bekas YDP PBT tersebut yang berganding bahu dan bekerja keras sebelum ini.
“Tanpa kerjasama daripada semua mereka termasuk pegawai serta staf-staf daripada MPKu, tak mungkin kita dapat anugerah ini. Tak lupa juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor banyak bagi nasihat, panduan dan bimbingan,” katanya.
Menurutnya, MPKu pernah mendapat tempat keempat dalam kategori yang sama pada 2024 manakala tahun ini mencipta sejarah apabila berjaya mendapat tempat pertama.
“Penilaian ini dibuat dua tahun sekali dan terdapat enam majlis perbandaran di Johor turut serta selain MPKu, ada Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Pontian dan Majlis Perbandaran Segamat,” katanya.
Ditanya sama ada pencapaian itu menjadi cabaran untuk MPKu mengekalkan kecemerlangan tersebut selepas ini, beliau mengakui namun akan berusaha melakukan yang terbaik.
“Macam Datuk Jafni selalu cakap, kita kena berfikir di luar kotak untuk mengekalkan kejayaan ni. Kalau kita kerja biasa-biasa tak mungkin dapat capai. Kena fikir luar kotak selain kerjasama bersama-sama.
“Lepas tu, mempunyai hubungan yang baik dengan semua pihak seperti Pejabat daerah dengan Exco-exco kerajaan negeri, jabatan negeri dan sebagainyalah,” ujarnya.
Mengenai lawatan kerja MPAJ, beliau menjelaskan, pihak PBT berkenaan datang untuk mempelajari amalan MPKu sehingga mendapat penarafan tersebut.
Tambahnya, pada Isnin ini pula Setiausaha Kerajaan Terengganu, YDP Majlis Perbandaran Kemaman dan rombongannya akan datang ke Bangunan MPKu untuk tujuan yang sama.
Shahril percaya selepas ini akan ada lagi PBT lain dari luar akan datang melakukan lawatan kerja dengan tujuan yang sama.- MalaysiaGazette
















