KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas susulan kelewatan pembukaan pintu utama Stesen Anak Bukit hari ini.
Menurutnya, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi pada jam 5.30 pagi.
Bagaimanapun, kakitangan yang dijadualkan bertugas untuk membuka stesen tidak dapat melapor diri pada waktu yang ditetapkan atas faktor kesihatan.
Menurutnya, KTMB telah dimaklumkan kira-kira jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka dan pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan yang bertugas namun tidak berjaya.
Lantaran itu tindakan segera kemudiannya diambil dengan mengarahkan seorang kerani kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada jam 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit.
“Kakitangan berkenaan tiba pada kira-kira jam 6.30 pagi dan pintu masuk utama stesen telah dibuka,” kata KTMB yang mengulas mengenai kelewatan pembukaan pintu masuk Stesen Anak Bukit.
Kejadian itu menyebabkan 25 penumpang terjejas dan tidak dapat menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter, iaitu Tren 2901 dan Tren 2903 yang masing-masing dijadualkan berlepas dari stesen Anak Bukit pada jam 5.58 pagi dan 6.18 pagi.
“KTMB memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku dan memandang serius kejadian ini memandangkan akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi yang ditetapkan, khususnya bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur yang ditetapkan. – MalaysiaGazette
















