KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa parti-parti politik serta individu yang tidak berkaitan secara langsung dengan institusi Negeri Sembilan supaya tidak mencampuri atau mengeruhkan isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
GPMS berpandangan, perkara yang menyentuh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Adat Perpatih serta institusi berkaitan sewajarnya diberikan ruang untuk diselesaikan oleh pihak-pihak yang mempunyai kedudukan dan tanggungjawab dalam struktur adat serta pemerintahan Negeri Sembilan.
“Inilah masanya untuk kita melihat bagaimana institusi dan individu yang terkait dengan Adat Perpatih membuktikan keluhuran, kewibawaan dan kebijaksanaan institusi Diraja di Negeri Sembilan.
“Adat Perpatih merupakan sebahagian daripada warisan dan identiti Negeri Sembilan yang telah dipertahankan secara turun-temurun. Dalam konteks ini, peribahasa “Biar mati anak, jangan mati adat” sering dijadikan sandaran bagi menggambarkan betapa pentingnya adat sebagai pegangan masyarakat yang mewarisinya,” kata gabungan itu dalam kenyataan hari ini.
Justeru, GPMS berpandangan, perkara yang menyentuh adat dan institusi Diraja Negeri Sembilan tidak wajar dijadikan gelanggang pertarungan politik oleh pihak-pihak yang tidak berkaitan.
Jelasnya, Negeri Sembilan tidak kekurangan institusi dan tokoh untuk menyelesaikan persoalan ini namun yang diperlukan sekarang ialah ruang, ketenangan dan kebijaksanaan.
Oleh itu, GPMS menyeru parti-parti politik agar tidak menjadikan isu ini sebagai modal politik manakala individu yang tidak mempunyai kaitan langsung pula diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau membuat spekulasi yang boleh menambahkan kekeliruan masyarakat.
“Sebaliknya, Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pihak-pihak yang mempunyai kaitan langsung dengan Adat Perpatih hendaklah diberikan ruang untuk memainkan peranan masing-masing.
“Bagi GPMS, kewibawaan sesebuah institusi bukan hanya diuji ketika keadaan tenang tetapi lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan cabaran,” tambahnya.
Selain itu, inilah peluang untuk memperlihat bahawa institusi adat dan Diraja Negeri Sembilan mempunyai kebijaksanaan, kewibawaan serta mekanisme tersendiri dalam menangani sesuatu perkara yang menyentuh negeri dan adatnya.
Katanya, jangan sampai terlalu ramai pihak luar mahu menjadi “jurucakap Negeri Sembilan”, sehingga institusi Negeri Sembilan sendiri tidak diberikan ruang untuk menyelesaikan urusan mereka.
“Cukuplah pihak luar bersuara. Berikan ruang kepada Negeri Sembilan untuk menyelesaikan urusan negeri tersebut.
“GPMS percaya bahawa dalam perkara yang menyentuh institusi Diraja, adat dan perlembagaan, hormat, tertib dan kebijaksanaan hendaklah mendahului kepentingan politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















