PUTRAJAYA – Usahawan Bumiputera mampu bertahun dalam perniagaan yang diceburi mereka sekiranya bangkit bukan sahaja dengan kepintaran tetapi menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika sikap itu diamalkan dan cara berfikir ditukar, barulah golongan itu boleh berbangga menjadi bangsa yang bertamadun dan maju serta menjadi contoh kepada dunia.
“Sangat utama, mind set lama yang menganggap agensi Bumiputera sahaja yang Bumiputera, itu bagi saya meleset. Saya dalam kerajaan memimpin kerajaan negara ini bertanggungjawab melaksanakan agenda, agenda memacu pertumbuhan, agenda menyelamatkan Bumiputera dengan syarat diurus dengan baik hentikan amalan-amalan mencuri dan menyakau.
“Itu saya tidak tolak ansur. Maki hamun la saya banyak mana pun, saya tidak peduli.
“Orang Melayu dan Bumiputera akan bertahan kalau bangkit kembali bukan sahaja kepintaran perniagaannya tetapi akhlak nilai dan moralnya. Baru kita boleh bangga bangsa yang tamadun dan maju menjadi contoh kepada dunia,” katanya ketika berucap pada pada Spark 2026: Transformasi Niaga anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di IOI City Mall di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, program pembangunan Bumiputera tidak boleh digalas oleh agensi secara ‘solo’ semata-mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara bersepadu.
Perdana Menteri memberitahu, ia bagi mengelak pertindihan fungsi serta memastikan setiap institusi saling melengkapi dalam memperkasakan agenda pembangunan golongan itu.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga tidak bercadang menubuhkan agensi Bumiputera baharu sebaliknya mahu mengoptimumkan peranan agensi sedia ada.
Ia agar setiap institusi memikul tanggungjawab bersama menjayakan agenda pembangunan Bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda nasional.
“Saya ingatkan program pembangunan Bumiputera itu bukan tugas khusus agensi Bumiputera semata-mata tetapi menjadi agenda nasional.
“Sebab itu saya tidak cenderung menubuhkan agensi Bumiputera baharu tetapi saya cenderung memastikan agensi ini (sedia ada) diperkasa, agensi, jabatan lain dan kementerian semuanya mesti diselaraskan.
“Baru-baru ini, saya panggil semua pengurusan syarikat milik kerajaan termasuk GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) yang ada termasuk yang khusus untuk Bumiputera iaitu Perbadanan Usahawan Nasional, MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan sebagainya.
“Ada Maybank, PETRONAS yang besar-besar. Tapi saya ingatkan program pembangunan Bumiputera bukan tugas khusus bagi agensi Bumiputera semata-mata tetapi menjadi agenda nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















