JOHOR BAHRU – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh tersasar daripada isu sebenar apabila mengulas kenyataan perdana menteri berhubung perumahan rakyat di Johor.
Faezuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas berkata, isu dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan mengenai perbandingan harga rumah antara Johor, Selangor dan Kuala Lumpur, sebaliknya sama ada kerajaan negeri berjaya menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi untuk rakyat.
Menurutnya, harga rumah di pasaran dan penyediaan rumah mampu milik merupakan dua perkara yang berbeza.
“Harga rumah ditentukan oleh pasaran, manakala penyediaan rumah mampu milik adalah tanggungjawab kerajaan.
“Itulah isu sebenar yang dibangkitkan Perdana Menteri, bukannya pertandingan negeri mana mempunyai harga rumah paling mahal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faezuddin berkata, Johor sendiri menetapkan sasaran membina 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030, dengan sasaran 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Bagaimanapun, katanya, sehingga 29 Jun lalu hanya 21,412 unit berjaya direalisasikan, manakala baki 8,588 unit lagi dijangka siap menjelang penghujung tahun.
Beliau turut mendakwa laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi suku pertama 2026 menunjukkan Johor merekodkan 3,852 unit kediaman siap dibina tetapi tidak terjual, selain 9,972 unit pangsapuri khidmat yang turut belum terjual.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan pembangunan hartanah di Johor berkembang pesat, namun sebahagian besar projek yang dibina tidak memenuhi kemampuan atau keperluan sebenar rakyat.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan Selangor yang menurutnya terus melaksanakan program Rumah Selangorku secara konsisten walaupun berdepan harga pasaran hartanah yang tinggi.
“Justeru, isu sebenar ialah sama ada kerajaan negeri berjaya mengimbangi pembangunan hartanah dengan penyediaan rumah mampu milik untuk rakyat, bukannya membandingkan harga rumah antara negeri,” katanya.
Faezuddin berkata, sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, gabungan itu komited menyemak semula dasar perumahan negeri, mempercepat pembinaan rumah mampu milik serta memastikan lebih banyak projek dibangunkan di lokasi yang strategik dan mampu dimiliki rakyat. – MalaysiaGazette
Rumah mahal di KL dan Selangor, apakah disebabkan PM gagal? Akmal tanya Anwar
















