Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membangkitkan persoalan mengenai hubung kait di antara harga rumah mahal di Johor dengan kegagalan kerajaan dalam mentadbir negeri itu, seperti mana yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sekiranya benar ada kaitan, maka logik yang sama wajar diguna pakai terhadap situasi di Kuala Lumpur dan Selangor yang mana harga hartanahnya merupakan tertinggi di negara ini.

Ini kerana Kuala Lumpur ditadbir oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang dilantik Perdana Menteri, manakala Selangor pula ditadbir oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau ikut logik Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), rumah di Johor mahal sebab kegagalan kerajaan negeri Johor.

“Adakah ini bermaksud Perdana Menteri juga gagal mentadbir kerajaan dengan baik? Kalau dibandingkan dengan fakta, harga rumah di Kuala Lumpur dan Selangor jauh lebih mahal berbanding Johor,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau merujuk kenyataan Anwar sebelum ini yang menyebut bahawa harga rumah yang tinggi di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat.

Dalam kenyataan sama, Anwar dilaporkan berkata Johor yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih perlu memberi lebih perhatian terhadap aspek kebajikan dan kepentingan rakyat. -MalaysiaGazette

 

Rumah rakyat di Johor mahal, kerajaan negeri gagal sedia rumah mampu milik

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast